Am Anugerah Juara Lagu ke-24

Para peminat muzik tanah air digemparkan dengan keputusan buat pertama kalinya dalam penganjuran Muzik-Muzik/AJL bahawa lagu-lagu yang dipertandingkan tidak dibahagi mengikut kategori "Pop/Rock", "Balada" dan "Irama Malaysia dan Etnik Kreatif", sebaliknya mengadakan pertandingan terbuka antara semua lagu yang layak tanpa mengira genrenya. Menurut Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria, "Sejak dulu, kami sentiasa terbuka dengan cadangan dan pendapat serta kehendak dalam industri muzik itu sendiri bagi meningkatkan lagi mutu program Muzik-Muzik. Sebab itulah Muzik-Muzik 24 tampil dengan format baru di mana pencalonan lagu lebih fleksibel dan ini bermakna lagu-lagu yang dicalonkan terbuka kepada semua kategori lagu, tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada penggiat-penggiat seni muzik supaya bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori utama ini saja. Oleh itu, lagu-lagu yang bakal dicipta lebih luas genrenya dan ini sekaligus dapat mengembangkan lagi hasil seni ciptaan pengkarya tempatan. Kita tidak mahu penggiat seni muzik hanya bergantung kepada kategori untuk menentukan muzik mereka supaya lagu-lagu yang bakal dihasilkan tidak terbatas dan dengan ini industri akan lebih maju."[2]

Kekurangan lagu etnik kreatif diakui menjadi faktor utama pembahagian mengikut kategori digugurkan kali ini. Tambah Fadzliniza, "Kami tidak mahu tangkap muat dan masukkan semua lagu itu hanya kerana Etnik kreatif mempunyai sedikit saja lagu. Ia akan memalukan kami. Sewaktu kami masih wujudkan kategori ini, ada yang berhasrat buat lagu bergenre ini semata-mata untuk masuk Muzik-Muzik, tetapi malangnya ia tidak berkualiti. Sebab itu saya rasa lebih baik Muzik-Muzik kali ini dibuat secara terbuka dan semua lagu berlainan genre dapat bersaing sama."[2] Dari 30 buah lagu yang bertanding sepanjang separuh akhir, 14 buah lagu yang layak ke AJL dipilih oleh Azlan Abu Hassan, Mohariz Yaakub, Ahadiat Akashah, Helen Yap dan Azhar Borhan.[1] Pada setiap malam separuh akhir pertama dan kedua, para juri telah memilih lima lagu paling tinggi markahnya tetapi tidak memuktamadkan kelayakannya ke AJL, sebaliknya sekadar mengumumkan lagu-lagu mana yang paling bagus prestasinya sehingga senarai muktamad dikumpul dari kesemua 30 lagu yang dipertandingkan sepanjang ketiga-tiga malam separuh akhir, pada akhir malam ketiga.

Pada 15 Disember 2009, sesudah kesemua 14 finalis diumumkan, sebuah sidang media diadakan di Rootz Club, Bukit Bintang, untuk memperkenalkan tema AJL24, iaitu 'Music Unfolds' yang memperingati perjalanan industri muzik Malaysia dari 1960-an hingga tahun 2000. Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) diumumkan sebagai penerbit AJL kali ini. Katanya, "Maksud saya, perubahan bukan sahaja akan dilakukan dari segi lagu dan susunan tetapi juga persembahan pentas,"[3] iaitu menyentuh pentas bergerak yang menyerikan majlis gilang-gemilang. AJL24 dilaporkan menelan belanja RM 2 juta.[4]

Rujukan

WikiPedia: Anugerah Juara Lagu ke-24 http://khazanah-muzik.blogspot.com/2012/05/hafiz-m... http://www.gua.com.my/Entertainment/Showbiz-Detail... http://www.gua.com.my/Entertainment/Showbiz-Detail... http://www.gua.com.my/Entertainment/Showbiz-Detail... http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/... http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/... https://music.apple.com/ca/album/misha-omar/311210... https://music.apple.com/gb/album/aku-rindu-sayang-... https://music.apple.com/gb/album/check-check-rock-... https://music.apple.com/gb/album/rindu-terhenti/13...